Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian.
Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian.
Yusmizal Dolah Aling dan Mahaizura Abd Malik


PESERTA Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang terkandas di luar negara perlu membuat permohonan terlebih dahulu untuk melihat kelayakan mereka sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, permohonan itu akan meneliti semua aspek termasuk kedudukan semasa mereka di negara mana.

Katanya, jika peserta dari negara berisiko tinggi segala keputusan akan diputuskan membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Kabinet bersetuju membenarkan mereka pulang ke Malaysia tetapi bukan secara automatik. Mereka perlu membuat permohonan sebelum dibenarkan balik kerana kita juga akan lihat dari negara mana mereka datang.

"Kalau dari negara berisiko tinggi mungkin (keputusan) boleh atau tidak akan ditentukan KKM, MKN dan Motac.

"Mereka ada 200 orang saja tetapi akan disiasat menerusi permohonan berkenaan sama ada boleh atau tidak (dibenarkan pulang) bukan automatik," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau mengulas status peserta MM2H yang masih terkandas di luar negara.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan peserta MM2H dibenarkan pulang ke Malaysia bermula Ahad lalu dengan kuarantin wajib 14 hari sebelum kembali ke pangkuan keluarga.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 3:42 PM