Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika sidang media khas di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika sidang media khas di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Redzuan Muharam


Putrajaya: Kerajaan akan melihat semula kedudukan peserta yang menyertai Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, antara perkara yang akan dilihat dan diambil kira termasuk umur dan pendapatan peserta terbabit.

"Kita akan lihat semula kerana faham ada dalam kalangan mereka berumur melebihi 50 tahun.

"Kabinet sudah luluskan berapa ramai akan terus tinggal.

"Kalau mereka hanya mempunyai pendapatan RM1,000 sebulan, apakah patut kita benarkan kerana banyak subsidi diberikan antaranya minyak, petrol, gula, gas dan lain-lain lagi," katanya pada sidang media pertama sebaik dilantik semula sebagai Menteri Dalam Negeri di Kompleks D, KDN, di sini, hari ini.

Menurut Hamzah, kerajaan mahu hanya peserta berkualiti saja menetap di dalam negara untuk MM2H

"Peserta yang ada pendapatan sedikit lebih untung sedangkan kita mahu mereka bantu jana ekonomi.

"Kita akan tengok keseimbangan antara kedua-duanya iaitu membantu mereka dan menjana ekonomi.

"Kita akan bincang semula dengan mereka contohnya yang berumur 70 tahun dan menetap sejak 15 tahun lalu untuk terus tinggal.

"Pertimbangan mengikut kes kerana tidak adil untuk mereka menetap tinggal di sini kalau baru berumur 25 tahun dengan pendapatan hanya RM2,000 hingga RM3,000 dan tiada aset bernilai lebih RM300,000," katanya.

Hamzah berkata, setakat ini, seramai 57,478 permohonan pas MM2H diluluskan dan aktif sehingga 31 Julai lalu.

Beliau berkata, ia merangkumi 28,249 peserta prinsipal dan 28,229 terdiri daripada tanggungannya (peserta tanggungan).

"Daripada jumlah itu, 8,000 peserta tidak pernah bermastautin di Malaysia.

"Kalau tolak, tinggal 50,000 saja dan daripada jumlah itu, 10,000 saja sudah membeli aset," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 4:06 PM