Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pembukaan aktiviti pelancongan bakal dibenarkan kembali dalam masa terdekat selepas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) membentangkan perincian prosedur operasi standard (SOP) mereka.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju meluluskan permohonan itu, namun Motac perlu membentangkan dengan SOP dengan lebih terperinci terlebih dulu.

"Semalam Motac membentangkan cadangan aktiviti pelancongan dan mesyuarat pada dasarnya meluluskan permohonan Motac membuka aktiviti pelancongan termasuk aktiviti outdoor seperti Zoo Negara, Legoland dan sebagainya.

"Namun, kita minta Motac membentangkan SOP yang jelas selepas berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MKN.

"Tarikh berkuat kuasa sudah kita tetapkan (tetapi) tunggulah pembentangan SOP mereka nanti," katanya dalam sidang media, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga akan membentangkan SOP pembukaan aktiviti sukan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal, Khamis ini.

"Saya difahamkan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal akan bermesyuarat Khamis ini untuk kita bangunkan SOP jelas.

"Mungkin banyak lagi perkara dimohon mereka (KBS) termasuk pertandingan bola sepak yang tertangguh sebelum ini.

"Jadi, kita minta mereka membentangkan SOP lebih terperinci," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 7:57 PM