NAJIB ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Bernama
NAJIB ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Bernama
BERNAMA

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa lembaga pengarah 1MDB sentiasa berhati-hati dengan apa yang mereka minitkan semasa mesyuarat bagi mengelak ia digunakan kemudian terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, sepanjang tempoh memegang jawatan sebagai CEO 1MDB dari 2009 hingga 2013, sesetengah perkara yang dibincangkan semasa mesyuarat lembaga pengarah tidak dicatat bagi mengelak terdapatnya peluru tambahan dalam 'serangan politik' terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Perkara itu didedahkan selepas beliau disoal peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sama ada saksi memaklumkan lembaga pengarah mengenai kesulitan mendapatkan dokumen bagi tujuan pengauditan 1MDB kepada firma audit Ernst and Young (EY) memandangkan ia tidak dicatat dalam minit mesyuarat.

EY dikatakan enggan menandatangani penyata kewangan 1MDB yang diauditnya kerana tidak berpuas hati dengan cara aset usaha sama (JV) yang dimiliki 1MDB dan PetroSaudi International (PSI International) dinilai. EY kemudian dipecat daripada menjadi juruaudit 1MDB.

Muhammad Shafee: Apakah sebab utama Enrst and Young (EY) tidak bertahan lama sebagai juruaudit 1MDB?

Shahrol Azral: Pada masa itu (2009), seperti Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), terdapat percanggahan ketara nilai JV 1MDB-PSI dari segi nilai buku untuk dimasukkan ke dalam penyata kewangan 1MDB.

Muhammad Shafee: Andakah yang memberi idea untuk memendekkan khidmat EY?

Shahrol Azral: Saya tidak ingat siapa yang memulakannya tapi bukan saya.

Beliau berkata, ada cadangan untuk menggantikan EY dengan firma audit lain iaitu KPMG dan tidak menolak bahawa idea itu mungkin datangnya daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Katanya, beliau sudah memanjangkan isu kesulitan mendapatkan dokumen tersebut kepada Najib, namun tidak mencatat perkara itu.

"Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin (bekas pengerusi 1MDB) dan saya pergi ke pejabat Datuk Seri Najib yang mana kami membangkitkan isu itu kepadanya. Saya tidak ingat bila, sama ada pada 2009 atau 2010," katanya.

Shahrol Azral tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa sebagai CEO, beliau menyembunyikan setiap isu yang dibangkitkan EY dengan menukar juruaudit.

Muhammad Shafee: Begitu pun juruaudit baharu sudah menandatangani penyata kewangan itu. Bagaimana? Mereka tidak mendapat dokumen terbabit.

Shahrol Azral: Betul.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Jalan Raja Chulan branch of AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib, yang juga bekas Menteri Kewangan, berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan perbuatan itu di bank sama antara 22 Mac dan 30 Ogos 2013.

Semua pertuduhan adalah di mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 7:52 PM