AYOB Khan (tengah) menunjukan gambar suspek tekong yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan PATI, ketika sidang media di IPK Johor. FOTO Mohd Azren Jamaludin
AYOB Khan (tengah) menunjukan gambar suspek tekong yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan PATI, ketika sidang media di IPK Johor. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohamed Farid Noh

BAYI berusia tiga hari adalah antara 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diselamatkan selepas dua hari hanyut akibat bot pancung dinaiki menghadapi masalah enjin di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua PATI itu diselamatkan hasil Ops Pintas Bersepadu Selatan membabitkan polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Pada 15 Mei lalu, APMM menjumpai sebuah bot pancung hanyut di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi.

"Bot berkenaan mengalami kerosakan enjin dan dipercayai hanyut selama dua hari sebelum diselamatkan.

"Siasatan terhadap bot pancung berkenaan mendapati seramai 23 migran, termasuk sepasang suami isteri dan bayi perempuan mereka yang berusia tiga hari," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Ayob Khan berkata, bot pancung itu turut dinaiki tiga tekong dipercayai dalam perjalanan keluar negara ini menuju ke Batam, Indonesia.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut menjalankan dua lagi serbuan masing-masing di sebuah kediaman di Johor Bahru dan sebuah hotel di Seri Alam.

"Menerusi dua serbuan berkenaan, polis menahan lima tekong berperanan sebagai penjaga rumah penampungan dan transporter berusia antara 43 hingga 67 tahun.

"Selain itu seramai 10 migran berusia antara 25 hingga 58 tahun turut ditahan," katanya.

Ayob Khan berkata, hasil serbuan lima hari itu pihaknya berjaya merampas sebuah bot pancung, sebuah enjin, sebuah kereta dan 53 telefon bimbit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007, Seksyen 5(1)(2) dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 5:03 PM