KEADAAN kereta jenis BMW milik mangsa yang dipercayai terbabas dalam belukar berhampiran Binaraju Sdn Bhd di Kilometer 10, Jalan Seremban - Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
KEADAAN kereta jenis BMW milik mangsa yang dipercayai terbabas dalam belukar berhampiran Binaraju Sdn Bhd di Kilometer 10, Jalan Seremban - Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria

SEORANG ahli perniagaan berstatus Datuk ditemui mati dalam kereta yang dipercayai terbabas ke kawasan belukar di Kilometer 10, Jalan Seremban- Port Dickson di sini, beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa, Datuk R Rajasegaran,45, ditemui pada jam 10.30 pagi tadi oleh anggota polis peronda ketika melalui jalan itu.

"Siasatan awal mendapati sebelum kemalangan, kereta model BMW berwarna hitam yang dipandu ahli perniagaan itu bergerak dari Port Dickson ke arah Lukut.

"Apabila tiba di lokasi, mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kawasan belukar berhampiran sebuah premis perniagaan Binaraju Sdn Bhd," katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan, polis menemui mangsa dalam keadaan tidak sedar diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Penemuan mayat ini ada kaitan dengan laporan polis dibuat isteri mangsa berhubung kehilangan suaminya tiga hari lalu.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson bagi tujuan bedah siasat. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan parah akibat kemalangan," katanya.

Aidi Sham berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 9:35 PM