Mangsa maut di lokasi akibat parah. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mangsa maut di lokasi akibat parah. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


REMAJA lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabas di Kilometer 12 Jalan Sua Betong-Sunggala berhampiran Sunggala Gate, Port Dickson hari ini.

Dalam kejadian 4.20 petang itu, Abdul Hadif Abdul Hamid, 18, beralamat di Bandar Sunggala meninggal dunia di lokasi akibat parah di leher.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dikatakan dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Teluk Kemang.

“Mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu bergesel dengan besi penghadang jalan menyebabkan parah pada leher.

“Akibat pelanggaran mangsa tercampak ke tepi sebelah kiri jalan menghala Telok Kemang dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Aidi Sham berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat yang akan dilakukan esok.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 11:32 PM