Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Lelaki dipercayai kurang siuman mati ditikam peniaga makanan di pekan Lukut, di sini malam tadi.

Saksi yang enggan dikenali berkata, mangsa dipercayai kurang siuman dan selalu merayau di sekitar pekan Lukut.

"Dia memang selalu minta makanan kepada peniaga di kawasan ini tetapi kali ini dia bernasib malang kerana ditikam dengan menggunakan barang tajam oleh peniaga kenderaan saji atau foodtruck.

"Saya dimaklumkan, peniaga itu datang daripada Segamat dan dia lari dengan Proton Wira berwarna putih sebaik menikam lelaki itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kejadian berlaku pada jam 7.35 malam di hadapan Medan Selera Cina Pekan Lukut, Port Dickson.

"Polis menerima maklumat seorang lelaki ditikam dengan menggunakan objek tajam di kawasan Medan Selera Cina di pekan Lukut.

"Polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki terbaring di kawasan parkir dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah," katanya dalam kenyataan di sini tadi.

Katanya, selepas diperiksa Pegawai Perubatan yang tiba pada jam 7.55 malam, mangsa disahkan sudah meninggal dunia.

"Mangsa berusia 38 tahun dan mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk dan bedah siasat," katanya.

Muhamad Mustafah berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis giat mengesan suspek.

"Siasatan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Polis memohon kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk membantu siasatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di talian 06-6472222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 12:25 PM