SUSPEK menjalani ujian nafas untuk menentukan kadar alkohol. FOTO ihsan polis
SUSPEK menjalani ujian nafas untuk menentukan kadar alkohol. FOTO ihsan polis
Mohd Khidir Zakaria


LELAKI berusia 27 tahun ditahan polis selepas dipercayai memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan di Port Dickson, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kemalangan 10.45 malam itu membabitkan suspek yang memandu Honda City dipercayai menghimpit sebuah lagi Honda City di Dataran Segar, Lukut.

"Suspek yang bekerja sebagai pemandu lori ketika sampai di lampu isyarat di Dataran Segar, Lukut dipercayai menghimpit sebuah lagi Honda City dipandu seorang lelaki berusia 53 tahun.

"Dalam kemalangan itu kedua-dua pemandu tidak cedera tetapi suspek dipercayai mabuk dan polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson yang menjalankan Ops Mabuk terus ke lokasi kemalangan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, suspek diarahkan menjalani ujian saringan nafas dan bacaan adalah 199 miligram (mg) alkohol dalam 100 mililiter (ml) darah.

"Suspek ditahan atas kesalahan memandu bawah pengaruh alkohol dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 11:35 AM