SERAMAI 12 orang jemaah  menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri yang diimamkan oleh Imam Besar Perlis, Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.  FOTO AMRAN HAMID
SERAMAI 12 orang jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri yang diimamkan oleh Imam Besar Perlis, Ahmad Sirajuddin Abdul Satar. FOTO AMRAN HAMID
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KEBENARAN untuk 30 individu solat berjemaah di masjid dilihat sukar untuk dilaksanakan di kawasan zon hijau khususnya di Perlis.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, terdapat beberapa faktor yang dilihat mengekang pelaksanaan itu khususnya membabitkan penempatan anggota keselamatan bagi mengawal keadaan setiap kali waktu solat.

Menurutnya, sekiranya satu masjid ditempatkan seramai tiga anggota keselamatan pada satu waktu solat fardu, jumlah anggota yang ramai pasti diperlukan oleh polis bagi mengawal keadaan di setiap masjid di Perlis.

"Di Perlis sahaja kita ada 105 buah masjid, bagaimana pula dengan kawasan atau negeri yang mempunyai masjid lebih daripada 100 buah sehingga menjangkaui 300 dan 400 buah masjid.

"Pastinya jumlah anggota yang sangat ramai diperlukan bagi mengawal situasi ketika solat fardu tetapi saya tidak pasti bagaimana ia akan dilaksanakan sekiranya kerajaan sudah benar-benar bersedia untuk itu.

"Mungkin ia perlu diperhalusi lagi oleh kerajaan dan kita di Perlis, kita masih mengikut ketetapan yang sudah ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Perlis mengenai perintah akan mengimarah masjid," katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri, Arau hari ini.

Terdahulu, Mohd Asri menyampaikan khutbah ringkas sebelum solat Jumaat yang diimamkan oleh Imam Besar Perlis Ahmad Sirajuddin Abdul Satar sesuai mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Mohd Asri berkata, penetapan seramai 30 orang ke masjid dilihat terlalu ramai dan pasti akan timbul masalah ketika pemilihan antara ahli kariah dalam menentukan giliran solat berjemaah.

"Seperti di Perlis, kita tetapkan hanya 12 individu sahaja yang boleh hadir ke masjid untuk solat Jumaat di mana kesemua individu terbabit merupakan Jawatankuasa Masjid dan ia mencukupi syarat yang ditetapkan.

"Sekiranya 30 orang dibenarkan, SOP yang bagaimana pula akan diguna pakai dalam memilih anak kariah yang layak untuk hadir solat berjemaah di masjid?," katanya.

Beliau berkata, setakat ini di Perlis, hanya imam, bilal dan siak sahaja yang dibenarkan melakukan solat fardu berjemaah di masjid sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu tetapi ia tidak dimaklumkan kepada orang ramai bagi memastikan PKP dapat dipatuhi oleh orang awam.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menetapkan masjid dan surau yang berada di zon hijau boleh mengadakan solat berjemaah bermula hari ini termasuk solat sunat tarawih dan Aidilfitri mengikut SOP yang ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 4:52 PM