TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kiri) berkenan menyerahkan sumbangan alat pengimbas suhu kepada Dr Hazman Hassan di Galeri Istana Arau. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kiri) berkenan menyerahkan sumbangan alat pengimbas suhu kepada Dr Hazman Hassan di Galeri Istana Arau. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SOLAT sunat Aidilfitri di Perlis tidak akan dilaksanakan di masjid berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun ini.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, sebaliknya pelaksanaan solat berkenaan akan dibuat di kediaman masing-masing dengan diimamkan setiap ketua keluarga.

Menurutnya, perkara itu diputuskan oleh pihaknya selepas melihat situasi semasa Covid-19 dan ia sebagai langkah awal yang perlu diambil.

"Solat Aidilfitri bertaraf sunat dan tuntutannya tidak sekuat sepertimana tuntutan solat Jumaat, maka itulah sebabnya kita berikan keutamaan pada solat Jumaat terlebih dahulu.

"Kita tengok dahulu macam mana keadaan, setakat ini memang ia (solat sunat Aidilfitri) akan dilaksanakan di rumah masing-masing dan kita (Jabatan Mufti Perlis) akan sediakan teks khutbah Aidilfitri yang mudah untuk ketua keluarga gunakannya," katanya ketika ditemui pada majlis ringkas di Galeri Istana Arau hari ini.

Pada majlis berkenaan, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyerahkan sumbangan alat pengimbas suhu kepada Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Dr Hazman Hassan sebagai kegunaan di 102 buah masjid di Perlis.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, pihaknya kini masih menunggu sebarang makluman terkini mengenai situasi semasa Covid-19 oleh pihak berkaitan.

"Jika pada minggu hadapan Kerajaan Persekutuan tetapkan ia boleh dilaksanakan di masjid, kita juga akan benarkan tetapi setakat ini memang solat sunat Aidilfitri di Perlis dilaksanakan di rumah.

"Dalam perkara sebegini, kita perlu melakukan persediaan awal bagi memastikan keadaan terkawal khususnya dalam penyediaan teks khutbah solat sunat Aidilfitri," katanya.

Sementara itu, Mohd Asri berkata beliau akan mengimamkan dan membaca khutbah solat Jumaat pada 15 Mei ini di Masjid Negeri di Arau dengan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 12:34 PM