FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Aizat Sharif


Kangar: Aktiviti solat berjemaah di masjid seluruh Perlis dibenarkan dilakukan bermula esok namun dengan kapasiti maksimum mengikut saiz sesuatu masjid sahaja.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam titahnya berkata, perkenan berkenaan dilaksanakan setelah mendapat limpah perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berdasarkan situasi semasa penularan Covid-19 di Perlis yang dilihat semakin terkawal serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada oleh masyarakat negeri ini.

"Oleh hal demikian, kehadiran jemaah di masjid seluruh Perlis dibolehkan dengan kapasiti maksimum mengikut saiz masjid bermula solat Subuh pada hari esok sehingga tempoh baharu arahan terkini yang mungkin dikeluarkan.

"Namun begitu, kebenaran ini hanya terpakai di masjid di seluruh negeri Perlis sahaja, manakala sebarang aktiviti di surau kekal ditangguhkan.

"Sebagai langkah pencegahan dan ikhtiar untuk mengelakkan penularan wabak, pematuhan kepada semua SOP tetap diperketatkan dan semua jemaah yang hadir hendaklah sentiasa mematuhi SOP keselamatan dan kesihatan antaranya adalah memakai pelitup muka dengan digalakkan memakai dua pelitup muka serta ditambah baik dengan pemakaian bersama pelindung muka (face shield)," katanya dalam titahnya hari ini.

Titahnya lagi, jemaah masjid hendaklah sentiasa melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua meter pada setiap masa.

"Selain itu, jemaah perlu membawa sejadah sendiri bersaiz standard, mengambil wuduk sebelum ke masjid dan tidak melaksanakan sebarang kontak fizikal seperti bersalaman.

"Jemaah juga perlu mengimbas suhu badan dan melaksanakan rekod penjejakan sosial dengan mengimbas aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan.

"Jemaah digalakkan untuk membawa 'uncang' pembungkus kasut ke masjid bagi mengelakkan kesesakan ketika keluar masuk ke dalam masjid," titahnya.

Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah jemaah juga hendaklah terdiri dalam kalangan anak kariah sahaja yang berusia antara 12 hingga 59 tahun.

"Bagaimanapun, bagi jemaah yang berusia 60 tahun dan ke atas, adalah dibenarkan dengan syarat lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

"Sebagai langkah kawalan, mereka yang terbabit dengan aktiviti rentas sempadan dan negeri sama ada dengan kebenaran atau tanpa kebenaran termasuk yang berulang alik bekerja pada setiap hari adalah tidak dibenarkan hadir.

"Demikian juga ahli keluarga mereka yang tinggal bersama tidak dibenarkan hadir melainkan ahli keluarga yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin," titahnya.

Baginda juga turut menyatakan bahawa tempoh masa pelaksanaan solat fardu adalah selama 10 minit.

"Tempoh pelaksanaan khutbah dan solat Jumaat adalah selama 15 minit sahaja.

"Laungan azan akan kembali dilaungkan dengan lafaz dan kaedah seperti biasa," katanya.

Titahnya, bagi mengurangkan risiko penularan, Jawatankuasa Kariah Masjid hendaklah memastikan pengudaraan masjid berada dalam keadaan yang baik.

"Jawatankuasa Kariah Masjid diberikan tanggungjawab untuk memastikan segala SOP yang ditetapkan, sentiasa dipatuhi dan dilaksanakan dengan sebaiknya.

"Selain itu, aktiviti berkumpulan sama ada kuliah, kelas, pengajian dan sebagainya selain solat Jumaat dan solat fardu buat masa ini masih tidak dapat dibenarkan," katanya.

Baginda turut menyentuh aktiviti lain yang berkaitan masjid seperti solat jenazah dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid dengan terhad kepada petugas dan keluarga terdekat sahaja dengan pematuhan SOP sepanjang masa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 8:39 AM