Mohamed Farid Noh


MASJID dan surau di negeri ini membuat persiapan akhir bagi solat Jumaat esok yang hanya boleh disertai 12 individu membabitkan ahli jawatankuasa masjid atau surau.

Ia selepas lapan minggu solat Jumaat ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sejak 18 Mac lalu.

Tinjauan di Masjid Daing Abdul Rahman, di Nusa Idaman, mendapati petugas sedang sibuk membersihkan masjid selain membuat tanda penjarakan sosial di ruangan solat.

Pengerusi Masjid Daing Abdul Rahman Prof Madya Mustafa Yusof berkata, persiapan akhir membuka kembali masjid berkenaan untuk solat Jumaat sedang giat dijalankan.

Katanya, ia termasuk membincangkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Persiapan akhir sedang giat dijalankan termasuk kerja pembersihan, ruangan solat berdasarkan penjarakan sosial selain meja pendaftaran bagi mencatatkan butiran serta memeriksa suhu ahli jawatankuasa masjid yang akan hadir esok.

"Kita juga menggalakkan setiap ahli jawatankuasa yang hadir esok membawa sejadah masing-masing selain meminta mereka menggunakan pelitup mulut ketika berada di premis masjid.

"Bagi penjarakan sosial ruang solat, masjid ini menetapkan tujuh jemaah akan bersolat di saf pertama manakala lima lagi di saf kedua dengan jarak satu meter antara mereka, " katanya ketila ditemui di masjid berkenaan, hari ini.

Masjid Daing Abdul Rahman,  Nusa Idaman membuat persiapan akhir bagi solat Jumaat esok yang hanya boleh disertai 12 individu membabitkan ahli jawatankuasa masjid atau surau.
Masjid Daing Abdul Rahman, Nusa Idaman membuat persiapan akhir bagi solat Jumaat esok yang hanya boleh disertai 12 individu membabitkan ahli jawatankuasa masjid atau surau.

Semalam, JAINJ membenarkan hanya 12 orang menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau yang diberi kebenaran melaksanakannya sepanjang tempoh Perintah PKPB, bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Tosrin Jarvanthi, dilaporkan berkata, 12 orang terbabit ialah imam satu, imam dua, bilal, noja dengan lapan ahli jawatankuasa.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan berkata, mereka tetap perlu mematuhi garis panduan disediakan JAINJ dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Sejak PKP dan PKPB dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu, hanya tiga orang pegawai masjid yang dibenar melaksanakan laungan azan dan pelaksanaan solat berjemaah lima waktu dan solat terawih di masjid, iaitu imam, bilal dan noja.

Bagi menghidupkan syiar Ramadan, institusi berkenaan dibenarkan untuk menggunakan alat pembesar suara bagi bacaan ayat suci al-Quran 10 minit sebelum azan Maghrib, selain bacaan al-Quran serta tarhim 15 minit sebelum subuh.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 4:23 PM