Mohamed Farid Noh

KEBENARAN pertambahan jumlah jemaah solat Jumaat di seluruh Johor berbanding hanya 12 ahli kariah sebelum ini disambut baik penduduk setempat dengan penuh rasa kesyukuran.

Malah, pemerhatian wartawan mendapati kebanyakan masjid kini meriah dengan kehadiran 40 jemaah selain mereka sudah memenuhi masjid berkenaan seawal jam 12 tengah hari.

Tinjauan di Masjid Daing Abdul Rahman, Nusa Idaman, di Johor Bahru juga mendapati jemaah datang awal ke masjid berkenaan.

Hampir kesemua jemaah yang hadir dilihat turut membawa sejadah masing-masing sebelum menjalani saringan suhu badan dan mendaftar sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat.

Seorang jemaah, Rahim Abd Muin, 32, berkata, dia bersyukur kerana diberikan rezeki untuk menunaikan solat Jumaat selepas hampir tiga bulan tidak berbuat demikian.

"Perasan bercampur baur antara sebak, gembira dan bersyukur kerana menjadi jemaah terawal dibenarkan menunaikan solat Jumaat semula.

"Di Johor, hanya 40 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat bermula hari ini dan minggu hadapan biarlah jemaah lain pula yang mendapat peluang dan merasa, sehinggalah nanti kebenaran kapasiti penuh diberikan nanti, Insya-Allah," katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat.

JEMAAH menunaikan solat Jumaat di Masjid Daing Abdul Rahman, Nusa Idaman,  selepas kerajaan Johor membenarkan masjid dan surau di negeri ini untuk mengadakan solat Jumaat terhad kepada 40 jemaah berkuatkuasa hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
JEMAAH menunaikan solat Jumaat di Masjid Daing Abdul Rahman, Nusa Idaman, selepas kerajaan Johor membenarkan masjid dan surau di negeri ini untuk mengadakan solat Jumaat terhad kepada 40 jemaah berkuatkuasa hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Rabu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, dilaporkan berkata, Johor membenarkan masjid dan surau Jumaat di negeri untuk mengadakan solat Jumaat terhad kepada 40 jemaah berkuatkuasa hari ini.

Sebanyak 836 masjid dan 92 surau Jumaat di Johor dibenarkan mengadakan solat Jumaat hari ini namun terhad kepada hanya 40 jemaah tidak termasuk pegawai masjid dan surau Jumaat.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Daing Abdul Rahman Prof Madya Mustafa Yusof bersyukur kerana pembukaan semula masjid untuk solat Jumaat kepada orang awam hari ini berjalan lancar.

"Selain menjemput ahli kariah, kami juga menggunakan kaedah orang awam yang hadir terdahulu juga turut diberi peluang bersolat Jumaat.

"Namun prosedur standard operasi (SOP) ketat dilaksanakan termasuk perlu membawa sejadah sendiri, berwuduk di rumah selain membuat saringan suhu badan sebelum dibenarkan masuk, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 4:08 PM