Mohd Azam Shah Yaacob


GARA-gara video memarahi anak tirinya tersebar di media sosial, wanita ditahan polis selepas didakwa melakukan penderaan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Asisten Komisioner Choo Lily berkata, wanita itu ditahan 9 pagi semalam susulan video berdurasi satu minit 16 saat yang tular di media sosial.

Katanya, menerusi video itu kelihatan wanita memegang satu objek tajam iaitu pen di tangan sambil memarahi kanak-kanak perempuan.

“Susulan video tular memaparkan kejadian berlaku di sebuah pangsapuri di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Aman, Jinjang itu, polis ke rumah terbabit dan menahan wanita berusia 22 tahun serta menyelamatkan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun semalam.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan kesihatan oleh pegawai Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati tiada kesan dera pada tubuh kanak-kanak perempuan itu sebagaimana dakwaan yang tular,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati wanita itu yang juga ibu tiri kanak-kanak terbabit memarahinya kerana keengganan kanak-kanak itu membantunya menyidai baju.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan wanita terbabit masih ditahan untuk direkodkan keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 12:46 PM
Rakaman yang tular di media sosial memaparkan wanita memarahi kanak-kanak perempuan sambil memegang objek tajam di tangan. FOTO Tular
Rakaman yang tular di media sosial memaparkan wanita memarahi kanak-kanak perempuan sambil memegang objek tajam di tangan. FOTO Tular