Premis makanan perlu mematuhi 13 syarat yang ditetapkan MBSP. FOTO NSTP
Premis makanan perlu mematuhi 13 syarat yang ditetapkan MBSP. FOTO NSTP
Nur Izzati Mohamad


MAJLIS Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menetapkan 13 syarat kepada peniaga yang diberikan kebenaran untuk membenarkan pelanggan makan di premis mereka bermula Jumaat ini.

Ia termasuk pemakaian pelitup muka, melakukan ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) kepada pekerja warga asing, tidak menghidangkan juadah secara bufet, kawalan bilangan pelanggan dan had masa.

Selain itu, peniaga diminta menyusun atur meja pada jarak dua meter, melekatkan garisan di lantai untuk penjarakan sosial, rekod pelanggan, menyediakan cecair pembasmi kuman, mensanitasi meja secara kerap, menggalakkan pelanggan membuat transaksi tanpa tunai dan tidak meletakkan peralatan seperti sudu, garfu dan pisau di tempat umum.

Pekerja dan pelanggan yang mempunyai gejala seperti demam, batuk serta selesema tidak dibenarkan memasuki premis.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, syarat itu ditetapkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri yang membenarkan pelanggan makan di dalam premis secara berperingkat.

"Untuk fasa ini, kebenaran diberikan kepada pemilik restoran, kafeteria, medan selera, kompleks beli-belah termasuk restoran dan kafeteria di dalam hotel serta restoran makanan segera.

"Bagaimanapun, kesemua peniaga yang diberikan kebenaran perlu mematuhi kesemua syarat yang ditetapkan," katanya pada sidang media secara langsung melalui Facebook MBSP, hari ini.

Rozali berkata, larangan menerima pelanggan makan di dalam premis lain yang tidak disenaraikan masih berkuat kuasa.

Katanya, kebenaran makan dalam premis itu bakal diperhalusi pada fasa berikutnya bagi memastikan syarat ditetapkan dapat dipatuhi.

"MBSP bersama kerajaan negeri sentiasa komited dalam menjayakan Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang demi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 4:56 PM