FADZIL Awang (tiga dari kiri) sedang melihat bantuan makanan yang diagihkan kepada  Pondok Maahad As Syatirin Pondok Sungai Dedap. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
FADZIL Awang (tiga dari kiri) sedang melihat bantuan makanan yang diagihkan kepada Pondok Maahad As Syatirin Pondok Sungai Dedap. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Noorazura Abdul Rahman


LEMBAGA Zakat Negeri Kedah (LZNK) menafikan melantik amil di kalangan ahli parti politik tertentu untuk mengutip zakat fitrah di kawasan masing-masing.

Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang berkata, perkara itu sudah diselesaikan selepas pemimpin parti berkenaan dipanggil untuk memberi penjelasan.

"Saya dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman bersama Jawatankuasa Kutipan dan Agihan Zakat sudah mendengar penjelasan daripada kepimpinan tertinggi parti politik itu.

"Mereka menafikan memberi arahan untuk mengutip zakat fitrah, jadi perkara ini sudah selesai dengan tindakan pantas daripada LZNK," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan makanan kepada pelajar Pondok Maahad As Syatirin Pondok Sungai Dedap, Yan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai surat daripada parti politik berkenaan yang mengarahkan ahlinya mengutip zakat fitrah menggunakan nama 'infaq: wajib Ramadan' tular di media sosial, baru-baru ini.

Sementara itu, Fadzil berkata, kebenaran menunaikan solat Jumaat di Kedah akan berpandukan keputusan kerajaan pusat yang dijangka akan diumumkan tidak lama lagi.

Katanya, Jabatan Mufti Kedah akan menyelaraskan garis panduan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

"Isu ini diambil alih oleh Kabinet yang akan diputuskan pada minggu ini juga, jadi segala keputusan kabinet kita akan ikut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 4:34 PM