ZAINAL Abidini Mehat (tengah) bersama pengusaha berkumpul serta menunjukkan salinan laporan polis berikutan tiada dana khusus daripada pihak kerajaan. FOTO Farizul Hafiz Awang
ZAINAL Abidini Mehat (tengah) bersama pengusaha berkumpul serta menunjukkan salinan laporan polis berikutan tiada dana khusus daripada pihak kerajaan. FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang

Kuantan: Seramai 80 ahli Gabungan Pengusaha Bas Malaysia (GPBM) Cawangan Pahang meminta bantuan kerajaan selepas berdepan masalah serius terutama tunggakan bayaran ansuran bulanan kesan daripada penularan Covid-19 sejak Mac lalu.

Wakil Sekretariat GPBM Pahang, Zainal Abidin Mehat berkata, ini kerana Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu tidak banyak membantu meringankan beban dialami pengusaha bas persiaran, sekolah, pekerja dan henti-henti.

Beliau berkata, pada masa sama, syarikat kredit yang memberikan pinjaman mula memberi tekanan dan meminta supaya pengusaha bas menjelaskan bayaran ansuran.

"Kini pengusaha bas tertekan kerana pinjaman tidak dapat dibayar apabila sumber pendapatan terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

"Sebenarnya sumber pendapatan terjejas bukannya berlaku sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, tetapi sejak November tahun lalu.

"Tapi keadaan lebih serius apabila pelaksanan PKP kerana kebanyakan pengusaha bas tidak dapat beroperasi hingga menjejaskan pendapatan syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas bersama 10 pengusaha bas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, hari ini.

Laporan itu dibuat terhadap Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelancongan kerana mendakwa tidak ada dana khusus diperuntukkan untuk membantu pengusaha bas.

Bagi membantu pengusaha bas yang terjejas, Zainal Abidin berkata, GPBM Pahang mencadangkan kerajaan mempertimbangkan penstrukturan semula pinjaman kepada pengusaha bas yang dianggarkan berjumlah RM3 bilion.

Katanya, beban pinjaman daripada syarikat kredit diambil alih SME Bank atau Bank Pembangunan Malaysia dengan mengenakan kaedah faedah berpatutan.

"Di Pahang, secara keseluruhan mempunyai bebanan hutang dianggarkan berjumlah RM200 juta membabitkan tunggakan ansuran bulan dan kos operasi termasuk bayaran gaji.

"Jika kerajaan tidak dapat membantu kemungkinan pengusaha bas akan menghentikan operasi yang menyebabkan ramai pekerja hilang sumber pendapatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 7:19 PM