Foto hiasan
Foto hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap

DUA lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan didenda sebanyak RM500 oleh Mahkamah Majistret Bahau di Jempol, hari ini kerana mencuri buah kelapa sawit.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Khairul Zamrus, 38, dan Mohd Helmi Mohd Samin, 31, dari Gemas selepas kedua mereka mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua tertuduh didakwa memiliki 3.2 tan buah kelapa sawit dan gagal memberi alasan munasabah dari mana memperolehnya di ladang PM 07 P Blok 16 FGV, Palong 18 pada pada 3 pagi, 2 Mei lalu.

Kedua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, mereka yang menaiki sebuah lori berisi muatan buah kelapa sawit ditahan oleh anggota polis bantuan Felda Palong 18 sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Ladang Geddes.

Khir Nizam turut mengarahkan kedua tertuduh menjalani hukuman penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda.

Di mahkamah sama, kedua tertuduh turut didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11 peraturan yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua tertuduh yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu kemudiannya didenda sebanyak RM1,000 dan dihukum penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 12:54 PM