Yusmizal Dolah Aling


KEMENTERIAN Pengangkutan mewujudkan portal prihatin.mot.gov.my untuk memudahkan proses pendaftaran permohonan Bantuan Prihatin pemandu bas pelancong dan persiaran.

Menterinya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, syarikat pelancongan yang memiliki Lesen Perniagaan Pengendalian Pelancongan atau Perniagaan Agensi Pengembaraan (TOBTAB) yang masih dalam tempoh sah laku dengan Kementerian Pelancongan Malaysia serta mempunyai lesen kenderaan berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) adalah layak untuk mengisi butiran pemandu masing-masing di dalam portal ini.

Katanya, inisiatif itu diambil kerana menyedari permasalahan menimpa hampir 10,000 pemandu bas persiaran serta lebih 1,000 syarikat yang mempunyai bas persiaran akibat pandemik COVID-19.

"Butiran yang perlu dimuatnaik di dalam portal ini merangkumi maklumat Mykad, maklumat lesen serta akaun bank pemandu. Syarikat akan diberi masa dua minggu bermula dari 8 Mei iaitu tarikh pelancaran portal ini untuk mengisi butiran pemandu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, senarai pemandu ini akan disaring untuk memenuhi syarat-syarat seperti warganegara Malaysia, berstatus lantikan tetap oleh syarikat bas pelancong atau persiaran dan mempunyai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Selain itu mereka juga perlu memiliki Lesen Vokasional (PSV), Lesen E atau lesen memandu yang berkenaan yang masih dalam tempoh sah laku dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 10:12 PM