DATUK Seri Wee Ka Siong. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Wee Ka Siong. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) akan memberi perlanjutan satu tahun secara automatik kepada kenderaan perkhidmatan awam yang mencapai had usia maksimum penggunaan seperti ditetapkan di dalam syarat lesen atau permit kenderaan.

Ini termasuklah kenderaan yang mendapat lanjutan dalam tahun 2020 sebelum ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, langkah itu diambil untuk membantu pemain industri pengangkutan awam khususnya pemilik teksi, bas sekolah dan bas persiaran dalam mengharungi waktu sukar akibat pandemik Covid-19.

Katanya, mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang mencapai had usia maksimum penggunaan kenderaan untuk tempoh bermula 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2021 akan diberi perlanjutan secara automatik untuk satu tahun lagi.

Menurutnya, perlanjutan ini adalah tertakluk kepada kenderaan terbabit menjalani dan lulus pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi memastikan tahap keselamatan dan kelayakan berada di atas jalan.

"Perlanjutan ini akan membabitkan semua kelas kenderaan perkhidmatan di bawah skop tanggungjawab Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak.

"Keputusan MOT berkaitan perlanjutan had usia bas pelancongan dan persiaran juga turut diselaraskan dengan aspek pelesenan syarikat, agensi, operator pelancongan dan pelesenan bas pelancongan serta persiaran di Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan yang berada di bawah skop kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac)," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata keputusan itu diambil susulan sesi perbincangan serta libat urus di antara MOT bersama persatuan dan pengendali termasuklah Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia, Pan Malaysia Bus Operators Association (PMBOA), Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia (PPBPSM), Gabungan Teksi Semenanjung Malaysia (GTSM), Koperasi Melayu Teksi Pulau Pinang, Persatuan Teksi India Wilayah Persekutuan dan Persatuan Kereta Sewa Hulu Selangor.

"MOT sentiasa mendengar dan prihatin terhadap segala rintihan pemain industri yang terjejas akibat Covid-19, tambahan lagi perkhidmatan pengangkutan awam adalah mod pengangkutan yang dekat di hati masyarakat.

"Kita memahami situasi yang terpaksa dihadapi oleh pemain industri apabila tidak berupaya untuk menggantikan kenderaan mereka pada waktu sukar ini.

"Diharapkan dengan perlanjutan had usia penggantian kenderaan selama setahun secara automatik ini dapat memberi kelegaan kepada industri pengangkutan awam seterusnya kembali pulih serta terus berdaya saing untuk tempoh panjang demi manfaat rakyat serta negara secara keseluruhannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 10:54 AM