PRESIDEN PPBPSM Steven S W Chong. FOTO ihsan Steven S W Chong
PRESIDEN PPBPSM Steven S W Chong. FOTO ihsan Steven S W Chong
Amir Abd Hamid


PERSATUAN Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia (PPBPSM) meminta supaya moratorium pinjaman sewa beli dilanjutkan kepada enam bulan lagi.

Presidennya, Steven S W Chong berkata, perkara itu sudah dijelaskan pihaknya dalam mesyuarat bersama wakil Kementerian Kewangan semalam.

Katanya, permintaan itu disuarakan kerana pengusaha agak sukar bangkit dalam tempoh terdekat dan proses pemulihan dijangka mengambil masa setahun.

"Kita mohon pemberian moratorium ditambah enam bulan lagi. Ini cadangan kita, enam bulan tak kena faedah (tambahan) dan enam bulan lagi dikenakan faedah (tambahan) pada kadar minima.

"Kerugian kami alami sudah berlaku sejak Januari apabila beberapa negara di sesetengah tempat dikenakan perintah 'lock down' akibat Covid-19 termasuk China.

"Pelancong tak dapat masuk sini (Malaysia). Ia lebih serius ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila kerajaan tutup habis pintu masuk dalam negara daripada kedatangan pelancong asing," katanya kepada Harian Metro.

Pada 6 Mei lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tiada faedah tambahan dikenakan jika peminjam mengambil moratorium enam bulan pinjaman sewa beli.

Beliau dilaporkan berkata, ia bermakna jumlah ansuran bulanan yang dibayar oleh peminjam akan kekal sama sepanjang tempoh keseluruhan pembiayaan itu.

Mengulas lanjut, Chong berkata pengusaha sudah tiada pendapatan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan.

"Kita 'zero income'. Sektor pelancongan dan hilirannya teruk terjejas, sekurang-kurangnya kita memerlukan masa setahun untuk pemulihan.

"Ada kira-kira 9,500 bas persiaran atau bas pelancong seluruh negara. Anggaran RM800 atau RM900 sewa sehari bagi setiap bas. Semua tak jalan, jadi bayangkan berapa banyak kerugian kita tanggung.

"Komitmen masih dilunaskan termasuk ansuran pembiayaan sewa beli bas, kos pentadbiran syarikat, gaji pekerja dan penyelenggaraan bas," katanya.

Katanya, PPBPSM juga memohon kepada Kementerian Pengangkutan melonggarkan peraturan supaya bas persiaran juga dibenarkan membawa penumpang khususnya menjelang Aidilfitri nanti.

Sementara itu, beliau berkata setakat ini pihaknya sudah mengumpul data kira-kira 4,000 pemandu bas persiaran dan berbaki 5,000 lagi untuk memastikan tiada yang tercicir menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

"Sehubungan itu saya meminta semua syarikat bernaung di bawah persatuan ini supaya segera salurkan data berkenaan untuk tindakan seterusnya kepada pihak berkaitan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 10:24 PM