PASUKAN Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya merampas lebih 2.2 tan daun ketum dan 330 botol ubat batuk bernilai RM71,220 dalam empat Op Wawasan Kedah/Perlis bermula 2 hingga 4 Mei lalu.FOTO Ihsan PGA
PASUKAN Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya merampas lebih 2.2 tan daun ketum dan 330 botol ubat batuk bernilai RM71,220 dalam empat Op Wawasan Kedah/Perlis bermula 2 hingga 4 Mei lalu.FOTO Ihsan PGA
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my

PASUKAN Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas lebih 2.2 tan daun ketum dan 330 botol ubat batuk bernilai RM71,220 di daerah Padang Besar dalam tempoh tiga hari sejak Sabtu lalu.

Rampasan tertinggi direkodkan dalam Op Wawasan Kedah/Perlis pada Ahad lalu apabila sebanyak 1,290 kilogram daun ketum bersama 330 botol ubat batuk dirampas di Kampung Kolam, Padang Besar.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohd Ji berkata, pihaknya menyerbu sebuah rumah dijadikan port untuk transit daun ketum sebelum diseludup ke negara jiran pada 3.55 pagi sebaik menerima maklumat.

"Setibanya di lokasi, pasukan PGA meninjau kawasan sekeliling rumah selama 30 minit dan mendapati rumah terbabit tidak berpenghuni sebelum bertindak memecahkan pintunya.

"Hasil pemeriksaan menemui 43 guni putih mengandungi daun ketum dan 330 botol ubat batuk masing-masing bernilai RM38,700 dan RM2,970 yang diletakkan di bahagian dapur," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam tiga serbuan lain, pihaknya merampas sejumlah daun ketum di beberapa kawasan sekitar tembok sempadan Malaysia-Thailand dipercayai cuba diseludup ke Thailand.

"Pada 2 Mac lalu, sebanyak 140 kilogram daun ketum bernilai RM4,200 dirampas selepas pasukan PGA menerima maklumat berhubung pergerakan yang mencurigakan sekitar tembok sempadan.

"Manakala dalam dua operasi semalam, kita menemui sebanyak 845 kilogram daun ketum bernilai RM25,350 di lokasi berbeza membabitkan kawasan kebun dan pondok berhampiran sempadan," katanya.

Katanya, kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 6:23 PM