KETUM dalam guni putih dan kenderaan yang dirampas PGA semalam. FOTO Ihsan PGA.
KETUM dalam guni putih dan kenderaan yang dirampas PGA semalam. FOTO Ihsan PGA.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PASUKAN Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya mematahkan cubaan menyeludup 2.67 tan daun ketum dan 98 botol ubat batuk bernilai RM403,440.

Ia hasil serbuan di Pintu A1 (POS TS 9) Ladang Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar pada 11.30 malam semalam.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohd Ji berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 31 tahun disyaki pengedar ketum.

Katanya, serbuan dilakukan 10 anggota yang menyerbu lokasi selepas melihat 19 motosikal ditunggang lelaki, mengiringi tiga pacuan empat roda menghala ke arah Thailand dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika menyerbu kumpulan berkenaan, sebahagian daripada mereka melarikan diri ke dalam hutan berhampiran dan meninggalkan dua pemandu yang tidak sempat keluar daripada kenderaan.

“Hasil pemeriksaan menemui 89 guni putih berisi 2,670 kilogram daun ketum yang bersamaan 2.67 tan dan sebuah kotak berisi 98 botol ubat batuk masing-masing bernilai RM400,500 dan RM2,940.

“Ia dimuatkan di bahagian belakang tiga kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Ghani berkata, pihaknya turut merampas 19 motosikal pelbagai jenis yang bernombor pendaftaran Thailand dan tempatan bersama tiga kenderaan itu.

“Kejayaan ini yang terbesar tahun ini dan kita yakin dengan tertangkapnya suspek dapat memberkas saki baki kumpulan itu,” katanya.

Menurutnya, suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 5:36 PM