ANTARA bungkusan ketum yang dirampas. FOTO Ihsan PGA
ANTARA bungkusan ketum yang dirampas. FOTO Ihsan PGA
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion 2 Briged Utara menyerbu sebuah pondok yang digunakan sekumpulan lelaki bagi mengadakan pesta air ketum dan ubat batuk di Kampung Batu 20 di Padang Besar, semalam.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohd Ji berkata, dalam serbuan 3.30 pagi itu, seramai 33 lelaki termasuk 11 warga Thailand berusia antara 19 hingga 67 tahun ditahan.

Beliau berkata, sebanyak 119 bungkusan plastik bersama empat botol berisi air ketum, 17 botol ubat batuk dan sejumlah daun ketum yang dimuatkan dalam 17 gulungan bernilai RM1,725 dirampas.

“Ketika serbuan, kumpulan lelaki terbabit bertempiaran lari namun sebahagian besar gagal melarikan diri sebelum mereka ditahan oleh pasukan PGA,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Abdul Ghani berkata, pemeriksaan ke atas semua suspek mendapati enam daripada yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Pihak kami turut merampas 24 unit telefon bimbit, 20 buah motosikal dan empat kad pengenalan lama termasuk dua pasport Thailand.

“Hasil ujian air kencing ke atas semua suspek adalah negatif dadah dan kesemua mereka termasuk barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 9:20 AM