LEBIH 1.74 juta batang rokok seludup pelbagai jenis dirampas. FOTO Ihsan JKDM
LEBIH 1.74 juta batang rokok seludup pelbagai jenis dirampas. FOTO Ihsan JKDM
Hazsyah Abdul Rahman


BERSELINDUNG di sebalik perkhidmatan barangan pos, itu taktik digunakan penyeludup bagi menghantar rokok seludup dari satu daerah ke daerah lain di Sabah.

Perkara itu didedahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah yang berjaya merampas rokok seludup dalam satu tangkapan di Jalan Silam, Lahad Datu, baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, kejayaan rampasan itu hasil maklumat dan risikan JKDM sebelum menahan sebuah lori di jalan itu, pada 2.45 petang, 28 April lalu.

Menurutnya, lori dipandu lelaki berusia 27 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari Tawau ke Lahad Datu untuk mengedarkan rokok seludup berkenaan.

"Lelaki itu ditahan dan pemeriksaan lanjut terhadap lori berkenaan menemui muatan kotak berisi pelbagai jenis rokok seludup membabitkan 1.74 juta batang rokok.

"Nilai rampasan, termasuk lori dianggarkan RM1.62 juta. Suspek direman 14 hari dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 serta Akta Eksais 1976," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, kes itu tangkapan pertama dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan yang terbesar di Lahad Datu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 10:29 PM