SEMBILAN pendatang asing tanpa izin  ditahan dalam Operasi Khas di Lahad Datu. FOTO/IHSAN ESSCOM.
SEMBILAN pendatang asing tanpa izin ditahan dalam Operasi Khas di Lahad Datu. FOTO/IHSAN ESSCOM.
Junaidi Ladjana


PASUKAN keselamatan yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menggempur tiga lokasi disyaki sarang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penjualan barangan seludup dalam Ops Khas, di Lahad Datu, semalam.

Operasi yang bermula kira-kira jam 7 pagi itu memberi tumpuan di kawasan Pasar Rakyat, Dataran Palma dan Bandar Wilayah.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata, dalam operasi itu, seramai 64 individu diperiksa dan sembilan daripadanya ditahan kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua yang ditahan adalah lelaki dan daripada itu lapan adalah warga Filipina dan seorang warga Indonesia berusia 17 hingga 54 tahun.

“Dalam operasi sama, pasukan keselamatan turut menahan seorang lelaki dan merampas 3,520 rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1,120," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Hazani berkata, suspek berusia 47 tahun bersama barangan rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu bagi tindakan dokumentasi dan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk tindakan lanjut.

Katanya, tumpuan operasi kali ini mengesan dan menangkap PATI selain merampas penjualan barangan seludup.

“Operasi khas ini adalah menguatkuasa undang-undang dan menunjukkan kehadiran pihak keselamatan terutama di kawasan-kawasan yang disasarkan.

“Operasi berjalan dengan lancar tanpa berlaku sebarang insiden," katanya.

Operasi itu disertai seramai 75 anggota penguat kuasa terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan negeri, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Majlis Daerah Lahad Datu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 2:27 PM