AZMIR menunjukkan rokok seludup bernilai RM323,000 yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM.
AZMIR menunjukkan rokok seludup bernilai RM323,000 yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM.
Juwan Riduan


Lahad Datu: Pasukan polis Unit Task Force Batalion 17 merampas rokok seludup bernilai RM323,000 dalam operasi di Jalan Jeroco, di sini, kelmarin.

Dalam operasi 7.15 pagi itu, polis turut menahan dua lelaki yang juga pemandu dan kelindan lori masing-masing berusia 41 tahun yang membawa rokok seludup berkenaan menaiki sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, Katanya, pemeriksaan lanjut di atas lori berkenaan menemui rokok pelbagai jenama disyaki diseludup dan tidak mempunyai cukai kastam.

"Antara rokok seludup yang dirampas adalah jenama Magnum, Nice Bold, Nice Gold, A Satu Mile dan Che 9.

"Jumlah keseluruhan rokok yang dirampas pula adalah sebanyak 1,823,600 batang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Azmir berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori berkenaan dianggarkan bernilai RM323,000.

"Siasatan mendapati rokok seludup berkenaan dibawa daripada kawasan Batu 3, Tawau dan akan dihantar ke Sandakan untuk pasaran di daerah berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(E) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai harga barang atau RM100,000 yang mana jumlah lebih tinggi.

"Pesalah turut boleh didenda tidak lebih 20 kali ganda nilai harga barang atau RM500,000 yang mana jumlah lebih tinggi atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 7:56 PM