AKTIVITI bersesuaian dijalankan bersama rakan sebaya di taska mengikut norma baharu.
AKTIVITI bersesuaian dijalankan bersama rakan sebaya di taska mengikut norma baharu.
Nurul Husna Mahmud


MELIHAT kepada peningkatan mendadak kes Covid-19 kebelakangan ini menunjukkan segelintir masyarakat masih alpa terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Lebih meruntunkan, kanak-kanak juga menjadi mangsa dalam persekitaran mencabar ini apabila turut dikuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif Covid-19.

Keadaan itu memberi gambaran keperluan mendesak ibu bapa untuk terus mewujudkan persekitaran selamat terutama jauh dari pandemik Covid-19 dalam apa juga keadaan.

Justeru mempersiapkan anak untuk mempunyai tabiat menjaga kebersihan dengan mengenakan pelitup muka, membersihkan tangan dan penjarakan fizikal perlu ditekankan menerusi didikan bermula di rumah.

Menurut Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) Anisa Ahmad, anak-anak yang masih kecil melihat ibu bapa dan golongan dewasa lain sebagai contoh ikutan dalam sesuatu perlakuan.

"Dalam situasi Covid-19 semakin meningkat kala ini, sebaiknya ibu bapa perlu sentiasa peka dan mematuhi segala SOP bagi melindungi keselamatan dan kesihatan keluarga masing-masing.

"Amalan seperti pelitup muka, mencuci tangan dan penjarakan fizikal masih langkah pencegahan terbaik disarankan kerajaan.

"Bagi memastikan anak-anak kecil turut mempunyai sikap sama, sebenarnya itu adalah peranan atau tanggungjawab ibu bapa.

TASKA menjadi tempat perkembangan penting untuk kanak-kanak.
TASKA menjadi tempat perkembangan penting untuk kanak-kanak.

"Anak-anak ini masih kecil, tetapi mereka ini mudah ingat jika ibu bapa konsisten tunjukkan sikap baik seperti mengenakan pelitup muka setiap kali keluar rumah dan begitu juga penjarakan fizikal dengan orang di luar," katanya.

Tambah Anisa, bagi peringkat pengasuh atau pengusaha taska kebanyakan mereka sentiasa tingkatkan keselamatan premis dan amalan di taska supaya mematuhi SOP.

"Peringkat pengasuh atau pengusaha sendiri, kami sentiasa letak keutamaan dalam penjagaan SOP di taska dengan ketat berikutan pemantauan kerap oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Dalam didikan kepada anak-anak, kami sertakan amalan penjagaan kebersihan yang betul seperti mencuci tangan selain menggunakan pelitup apabila berada di luar.

"Semua ini dibantu dengan kaedah guru dan pengasuh itu sendiri yang menjadi contoh selain grafik untuk memberitahu mengenai kepentingan semua amalan baik itu," katanya.

Selain itu sebagai langkah berjaga-jaga, kata Anisa, pihaknya juga menetapkan setiap taska perlu menyediakan bilik kuarantin jika terdapat anak-anak dalam jagaan tiba-tiba sakit ketika berada di taska.

"Dalam musim wabak memang dalam amalan taska, perlu disediakan satu bilik pengasingan andai ada kes kecemasan iaitu anak jagaan tidak sihat.

PENGUSAHA patuh SOP taska dengan ketat.
PENGUSAHA patuh SOP taska dengan ketat.

"Mereka juga dijaga seorang guru memastikan keselamatan anak itu sendiri dan rakan lain sementara ibu bapa membawa pulang anak mereka,"katanya.

Biarpun hal keselamatan dan kesihatan berkait dengan SOP Covid-19 dijaga rapi oleh pengusaha atau pengasuh di taska, ia tidak dapat direalisasikan tanpa bantuan ibu bapa.

"Dilema pengusaha dan pengasuh ialah sikap segelintir ibu bapa yang mementing diri. Mereka ini menyembunyikan sejarah pemeriksaan atau ujian 'swab' mereka dan masih menghantar anak ke taska.

"Sedangkan dalam standard operasi, ibu bapa perlu dikuarantin dan anak mereka juga tidak boleh di hantar ke taska kerana merisikokan anak jagaan lain termasuk pengasuh itu sendiri.

PENYAKIT MIS-C sindrom mempunyai gejala dekat dengan Covid berlaku pada kanak-kanak.
PENYAKIT MIS-C sindrom mempunyai gejala dekat dengan Covid berlaku pada kanak-kanak.

"PPBM sendiri menerima rungutan ahli apabila ada ibu bapa tidak memaklumkan mereka sedang menjalani ujian atau kuarantin di rumah dan menjadi punca kepada kewujudan kes terpencil yang berlaku di Petaling Jaya serta Terengganu.

"Ibu bapa itu sendiri kena jujur dan mematuhi SOP Covid-19 supaya tidak berlaku kluster baharu membabitkan pusat jagaan atau taska," katanya.

Dalam kebanyakan kes membabitkan Covid-19 pada kanak-kanak, kata Anisa, kanak-kanak di taska lebih berisiko menghidapi penyakit sindrom MIS-C (multisystem inflammatory syndrome in children) dikatakan berkait rapat dengan wabak berkenaan.

Mengenai situasi sektor terbabit dalam tempoh pandemik ini, kata Anisa, taska atau khidmat pengasuh adalah perkhidmatan penting bagi ibu bapa yang berkerja terutama dalam ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dalam PKP 2.0, ibu bapa yang bekerja masih menghantar anak ke taska. Taska bukan tempat untuk makan, minum dan tidur semata-mata, sebaliknya ia adalah pusat perkembangan bagi anak-anak.

"Di sini anak-anak belajar, bermain dan berinteraksi dengan rakan sebaya. Ini penting bagi perkembangan fizikal, sosio-motor dan emosi mereka," katanya.

Kata Anisa, di awal operasi taska dibuka November tahun lalu, ramai pengasuh melihat anak-anak lebih sensitif, tertekan dan lebih agresif kerana tidak dapat bermain atau bertemu rakan mereka untuk satu tempoh lama.

"Kebimbangan saya dahulu ialah jika taska tidak dibuka dan ibu bapa terpaksa menghantar ke rumah orang atau kenalan, anak mereka lebih berisiko kerana tiada pihak memantau individu itu.

"Selain itu, perkembangan anak juga yang sebelum ini ada tempat untuk belajar, bermain dan berinteraksi seperti program dilaksanakan di taska tidak sama dengan tinggal di rumah orang. Mereka akan lebih sensitif dan hiper.

"Di awal pembukaan selepas PKP sebelum ini, kanak-kanak taska yang masuk lebih teruja dan mereka menjadi sangat hiper. Itu adalah gejala normal menunjukkan keperluan mereka tidak dipenuhi sebelum ini.

"Kanak-kanak perlukan persekitaran bebas dan ruang untuk mereka bergerak. Tetapi, dalam tempoh PKP terdapat sekatan yang mana banyak perkara yang anak ini sepatutnya boleh lakukan tidak dapat dilakukan kerana pandemik. Jadi mereka lepaskan geram," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 7:00 AM