Isma Ismail dan Yusmizal Dolah Aling


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang akan digunakan di taska.

Ia bagi membolehkan aspek kesihatan dijaga dengan sebaiknya demi memastikan keselamatan kanak-kanak yang berada di pusat jagaan berkenaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan untuk membuka taska dibuat memandangkan ada ibu bapa yang kedua-duanya bekerja dan tidak ada penjaga anak-anak.

"Sebab itulah akhirnya taska dibuka. Bagaimanapun untuk menjaga keselamatan anak-anak, KKM dan KPWKM akan berbincang untuk mengeluarkan SOP lengkap," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, ada keperluan kepada guru-guru untuk ke sekolah masing-masing untuk menyediakan apa saja yang berkaitan pelajaran.

"Arahan dikeluarkan Kementerian Pendidikan. Jika ada apa-apa kemusykilan dan pertanyaan, boleh hubungi Pejabat Pendidikan Daerah di tempat masing-masing atau pun terus ke kementerian.

"Mereka pun ada hotline dan sebagainya untuk dihubungi dan mendapatkan penjelasan siapakah yang dibenarkan dan tidak dibenarkan," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 4:01 PM