FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Zaid Salim

Kuala Terengganu: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri membenarkan semua 153 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di seluruh negeri ini dibuka sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini bermula semalam.

Pengarah JKM, Zuhaimi Omar berkata, kebenaran itu hanya membabitkan penjagaan anak petugas barisan hadapan sahaja.

Menurutnya, semua pengusaha TASKA yang mahu berbuat demikian hendaklah membuat permohonan terlebih dahulu.

"Selepas mendapat kelulusan daripada JKM, baharu premis berkenaan dibenarkan beroperasi dan kelonggaran itu hanya diberikan kepada pengusaha TASKA yang berdaftar sahaja.

"Setakat ini kami menerima banyak permohonan dan masih dalam proses penilaian kerana pengusaha perlu mengemukakan surat pengesahan majikan bagi memastikan kanak-kanak yang dihantar adalah anak petugas barisan hadapan.

"Kita tidak mahu ada pengusaha mengambil kesempatan dengan menerima penjagaan selain daripada anak petugas bariasan hadapan, sebab itu kita perlukan mereka mengemukakan surat pengesahan daripada majikan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pendidik TASKA Swasta Negeri Terengganu (PPTNT), Ummi Rahimah Hasan, berkata, pihaknya tidak menolak kesan pandemik Covid-19 menyebabkan ada di kalangan ahli terpaksa menutup premis berikutan tidak berkemampuan untuk membayar sewa premis dan gaji pekerja.

"Kita faham kesulitan yang dialami beberapa pengusaha namun kita tidak boleh membenarkan mereka menerima anak-anak selain daripada anak petugas barisan hadapan sebagaimana yang ditetapkan JKM ," katanya ketika ditemui di Taska Mutiara, miliknya di Taman Permint Jaya, Chendering, hari ini.

Beliau turut menasihatkan pengusaha TASKA yang berdaftar di bawah PPTNT mematuhi arahan kerajaan yang dikeluarkan bertujuan mengekang penularan wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 3:21 PM