ANGGOTA bomba membaca doa sebelum menyambut kepulangan pelajar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO MOHD FADLI HAMZAH
ANGGOTA bomba membaca doa sebelum menyambut kepulangan pelajar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Raja Noraina Raja Rahim


DALAM membasmi penularan pandemik Covid-19, pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga antara petugas barisan hadapan yang turut terdedah kepada risiko apabila bertugas di kawasan jangkitan.

Mereka antara wira yang terbabit mengetuai operasi pembasmian wabak berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin berkata, sebanyak 6,066 operasi dilaksanakan meliputi sanitasi di tempat awam dan disinfeksi kawasan titik pusat kejadian (epicenter).

Selain itu, katanya, anggota bomba juga melakukan pemindahan awam, pemeriksaan keselamatan kebakaran stesen kuarantin, pengurusan jenazah dan tugas-tugas lain.

"Tugas yang digalas anggota bomba kian mencabar saban hari dan wajar diberikan penghargaan tinggi kerana sanggup meletakkan diri dalam pelbagai situasi bahaya demi menyelamatkan nyawa dan harta benda.

"Mereka sentiasa bersedia menabur bakti tanpa mengira masa, kaum dan agama," katanya menerusi perutusan sempena Hari Anggota Bomba Sedunia 2020, hari ini.

Sempena sambutan itu, sebanyak 316 balai bomba seluruh negara membunyikan siren selama 30 saat pada 12 tengah hari, diikuti bertafakur bagi mengingati anggota bomba yang terkorban dan tercedera ketika bertugas.

Zuraida berkata, Hari Anggota Bomba Sedunia yang disambut setiap 4 Mei itu menjadi sangat istimewa tahun ini kerana diraikan dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

"Sambutan ini adalah satu penghormatan yang besar dan bermakna kepada seluruh warga JBPM. Ia menjadi pendorong dan pembakar semangat kepada mereka untuk terus menabur bakti serta memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

'Bagi pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga JBPM atas segala khidmat bakti serta pengorbanan yang dicurahkan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 12:11 PM