SAMBUTAN Hari Anggota Bomba Sedunia 2020. FOTO fail
SAMBUTAN Hari Anggota Bomba Sedunia 2020. FOTO fail
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Walaupun dihimpit pandemik Covid-19, ulang tahun Hari Anggota Bomba Sedunia 2021 tidak dilupakan apabila rakyat di seluruh negara mengirimkan ucapan di media sosial.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, beliau terharu dengan ingatan masyarakat terhadap pasukannya.

"Memandangkan kali ini kita masih berada dalam pandemik Covid-19, sambutan dibuat secara sederhana tapi meriah.

"Kita mulakan dengan perbarisan, menaikkan bendera termasuk membunyikan siren dan menyalakan lampu bicon serentak di 322 balai seluruh negara sebagai simbolik memperingati jasa serta pengorbanan warga bomba," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Majlis bacaan Yasin dan tahlil serta sesi bual bicara turut diadakan yang disiarkan secara langsung di media sosial Facebook.

Bertepatan tema 'Bomba Tonggak Penyelamat Negara' tahun ini, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya merancang pelbagai program untuk merapatkan hubungan bersama komuniti sepanjang bulan ini sehingga Jun.

Beliau berkata, antara program dirancang adalah demonstrasi, pameran, larian virtual dan khutbah jumaat malah setiap negeri turut mempunyai program masing-masing.

Katanya, sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia secara fizikal juga akan diadakan di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Terengganu pada 29 Mei ini dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Zuraida Kamaruddin.

Ditanya mengenai penugasan anggota bomba sempena perayaan Aidilfitri, katanya, hanya 20 peratus iaitu kira-kira 2,000 anggota operasi sahaja dibenarkan bercuti.

"Saya berharap seluruh keluarga besar bomba supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan memberi perkhidmatan terbaik serta responsif kepada mereka yang memerlukan apa-apa khidmat kecemasan.

"Pesanan saya kepada orang ramai pula, pastikan aspek keselamatan di rumah dan jalan raya sentiasa diambil perhatian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 6:44 PM