Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempertimbangkan elaun tambahan untuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terbabit dalam menguruskan jenazah pesakit Covid-19.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, JBPM adalah agensi yang banyak membantu rakyat terutamanya dalam menguruskan jenazah pesakit Covid-19.

Katanya, kerajaan menghargai pengorbanan dan usaha yang dilakukan JBPM berdasarkan kerja dan risiko yang dihadapi mereka setiap kali berdepan dengan tugas berkenaan.

"Dalam hal ini, kerja dan tugas anggota bomba selari dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh berhadapan dengan pandemik Covid-19.

"Mungkin kita harus lihat ke depan memandangkan tugas pengurusan Covid-19 sudah menjadi tanggungjawab bersama walaupun ini bukan kerja mereka. Jadi kita akan bincang dan pertimbangkanlah perkara ini," katanya.

DATUK Zuraida Kamaruddin pada sidang media ketika Lawatan Kerja ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Machang di Bukit Belah, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Zuraida Kamaruddin pada sidang media ketika Lawatan Kerja ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Machang di Bukit Belah, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata demikian ketika Lawatan Kerja ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Machang di Bukit Belah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah JBPM Kelantan Jainal @ Zainal Madasin berkata, 60 anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) di negeri ini sentiasa bersedia untuk menguruskan pengkebumian jenazah Covid-19.

"Bagi menguruskan pengkebumian pesakit ini, kami akan dibantu pegawai atau anggota dari balai setiap daerah terbabit.

"Bagaimanapun, buat masa ini mereka yang terbabit dengan kes Covid-19 diberikan elaun khas melalui tuntutan Pasukan Khas RM100 dan Elaun Khas Covid-19 RM200 mengikut syarat-syarat yang sudah ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 4:17 PM