Asrizal Aris


Kuala Lumpur: “Kami bukan disabotaj, tetapi kecuaian pekerja sendiri,” itu kata Lokman Madinah, Pengarah Line Clear (LC) Restaurant susulan arahan penutupan operasi Restoran Nasi Kandar Line Clear, Jalan Penang di Georgetown.

Lokman, 36, berkata, pihaknya menerima pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat berikutan penutupan restoran nasi kandar yang menjadi ikon Pulau Pinang itu.

Menurutnya, dia berharap masyarakat tidak terpedaya dengan maklumat palsu yang tersebar di media sosial menyebabkan imej restoran yang diusahakan sejak hampir 80 tahun lalu terjejas teruk.

“Kami juga meminta orang ramai tidak mengaitkan insiden kecuaian yang berlaku di Pulau Pinang itu membabitkan operasi LC Restaurant di Kampung Baru.

“Resipi nasi kandar LC di Jalan Penang dan Kampung Baru adalah sama, tetapi yang menguruskannya adalah daripada pihak yang berbeza,” katanya di LC Restaurant, Kampung Baru, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 7:56 AM