Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SEORANG lelaki bertindak menumbuk muka anggota polis selepas ditahan kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dekat sebuah pondok di Kampung Permatang Bongor, Simpang Empat, semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, sebelum itu berlaku pergelutan antara suspek berusia 50 tahun bersama anggota polis berkenaan.

Katanya, turut dirampas dalam kejadian itu 24 bungkusan plastik berisi cecair disyaki air ketum yang diletakkan di dalam sebuah tong bersebelahan pondok berkenaan.

"Pada awalnya, sekumpulan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar terserempak dengan suspek dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan berhampiran kawasan pondok di kampung terbabit.

"Sewaktu anggota polis memperkenalkan diri kepadanya, dia cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan sebelum suspek bertindak menumbuk bawah mata anggota polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wari berkata, akibat tindakan suspek, anggota terbabit mengalami kecederaan calar dan bengkak pada mukanya.

"Pemeriksaan menyeluruh di sekitar pondok terbabit berjaya menemui 24 bungkusan cecair disyaki ketum dan kita masih menyiasat sama ada ia adalah miliknya atau tidak," katanya.

SUSPEK (baju biru) direman tiga hari kerana menumbuk muka anggota polis. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
SUSPEK (baju biru) direman tiga hari kerana menumbuk muka anggota polis. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Wari berkata, suspek direman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, Seksyen 332 kanun yang sama kerana mencederakan penjawat awam dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 12:03 PM