Dziyaul Afnan Abdul Rahman


POLIS menahan lelaki yang juga penagih dadah semalam, selepas dia menampar dan memukul ibunya di rumah mereka di Kangar, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, suspek berusia 28 tahun dipercayai mengamuk selepas permintaan dibelikan motosikal baharu tidak dipenuhi ibunya yang berusia 56 tahun.

Suspek kemudian menampar ibunya yang bekerja sebagai pereka dalaman berkali-kali selain mengugut, memukul dan menyeret mangsa di lantai.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, mangsa kemudian membuat laporan sebelum suspek ditahan di Kangar, semalam.

"Siasatan awal mendapati suspek yang tidak bekerja datang berjumpa ibunya dan meminta sejumlah wang bagi membeli motosikal baru.

"Mangsa bagaimanapun memaklumkan tidak memiliki wang menyebabkan suspek menuduh mangsa berbohong dan bertindak menampar muka dan memukulnya pada kepala, kaki dan tangan," katanya ketika dihubungi di Kangar, hari ini.

Difahamkan, suspek turut mengugut mangsa selepas memukulnya berulang kali.

Wari berkata, mangsa kemudian mendapat rawatan di hospital.

"Mangsa tidak mengalami kecederaan serius, namun masih trauma dan ketakutan akibat kejadian dipukul suspek yang juga penagih dadah.

"Suspek direman empat hari bermula hari ini, mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana memukul, menumbuk dan mengugut mangsa," katanya.

SUSPEK (kiri) direman empat hari. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
SUSPEK (kiri) direman empat hari. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 12:04 PM