KAD pengenalan milik suspek ditemui dalam beg yang tercicir di tempat kejadian. FOTO ihsan pembaca.
KAD pengenalan milik suspek ditemui dalam beg yang tercicir di tempat kejadian. FOTO ihsan pembaca.

Dziyaul Afnan Abdul Rahman

[email protected]

IDENTITI penyamun terbongkar apabila beg mengandungi dokumen pengenalan dirinya tercicir selepas mencuri telefon bimbit di sebuah premis di Kangar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, suspek datang ke premis itu dan berpura-pura berlagak pelanggan.

Suspek kemudian meminta pemilik premis mengeluarkan sebuah telefon bimbit berjenama sebelum terus melarikannya.

“Bagaimanapun, pemilik kedai berjaya menarik beg sandang pada bahu suspek menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka.

“Namun, suspek berjaya melarikan diri dengan sebuah motosikal tetapi beg miliknya berjaya dirampas pemilik kedai,” katanya.

Wari berkata, pemilik kedai cedera ringan dan sudah menerima rawatan di sebuah klinik sebelum membuat laporan kejadian itu, petang tadi.

“Suspek juga sudah kenal pasti dan akan diberkas tidak lama lagi. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 6:06 PM