Dziyaul Afnan Abdul Rahman


LELAKI ditahan reman tujuh hari bermula hari ini susulan penemuan pistol tiruan bersama peluru dan senjata tajam lain dalam kereta dipandunya, malam tadi.

Dia yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum itu ditahan ketika memandu Proton Wira dalam keadaan mencurigakan di Kilometer 3 Jalan Kuala Perlis-Changlun, pada 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew berkata, suspek berusia 28 tahun memberi alasan tidak munasabah apabila ditanya tujuan pemanduannya, menyebabkan anggota memeriksa seluruh kenderaan itu.

“Pada mulanya, suspek memberi alasan mahu ke rumah rakannya dan itu jelas sudah mengingkari arahan PKP, membuatkan anggota polis curiga dengannya.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan kemudian menemui sepucuk pistol tiruan bersama sejumlah peluru, empat parang panjang, dua kerambit dan dua pisau serta sebungkus air ketum,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, hari ini.

Wari berkata, suspek dibawa ke balai polis dan hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah berkaitan dadah dan keganasan rumah tangga.

“Walaupun dia tidak mempunyai rekod jenayah pecah rumah, tetapi dengan jumlah senjata yang dibawanya kita percaya dia mempunyai niat tertentu membabitkan aktiviti jenayah dan keganasan.

“Malah hasil pemeriksaan air kencing juga mendapati dia positif syabu dan suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 dan Peraturan 11 Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan 2020).

Sementara itu, Wari memaklumkan sehingga semalam, seramai 53 individu ditahan kerana mengingkari PKP di Kangar dan jumlah keseluruhan ditahan di Perlis adalah 94.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 1:50 PM
WARI (tengah) menunjukkan senjata yang dirampas selepas menahan seorang lelaki di KM3, Jalan Kuala Perlis-Changlun. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
WARI (tengah) menunjukkan senjata yang dirampas selepas menahan seorang lelaki di KM3, Jalan Kuala Perlis-Changlun. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.