LAPAN pekerja kilang elektronik cedera selepas bas yang dinaiki kemalangan di Jalan Senai-Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. FOTO Ihsan pembaca
LAPAN pekerja kilang elektronik cedera selepas bas yang dinaiki kemalangan di Jalan Senai-Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. FOTO Ihsan pembaca
Nurul Amanina Suhaini

LAPAN pekerja kilang cedera selepas bas pekerja dinaiki terbabit kemalangan di Jalan Senai-Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kulai, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, bas terbabit melanggar pokok di tengah pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan.

Katanya, makluman awal kejadian mendapati, kemalangan itu membabitkan sebuah bas yang membawa 18 pekerja wanita warga Indonesia berusia 20-an hingga 30-an dari Taman Universiti, Skudai menghala ke sebuah kilang elektronik di Taman Perindustrian Senai.

"Kemalangan berpunca dari tayar depan kanan yang pecah dan pemandunya hilang kawalan lalu terlanggar pokok di tengah pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan.

"Lapan penumpang yang cedera dihantar ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan kerana mengalami luka kecil akibat terkena serpihan cermin," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 2:36 PM