Mohamad Pajeri (kanan) melakukan tinjauan di perairan Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Mohamad Pajeri (kanan) melakukan tinjauan di perairan Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan 55 individu di perairan Sabah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Individu yang ditahan membabitkan 45 kes tangkapan pelbagai kesalahan termasuk perlanggaran PKP, pendatang asing tanpa izin (Pati) dan penyeludupan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, tangkapan terbaru dilakukan di Tawau, semalam apabila PPM berjaya menahan empat individu warga Filipina.

Katanya, semua individu terbabit diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama bot yang dirampas untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita semalam.

Sementara itu, Mohamad Pajeri berkata, tinjauan yang dijalankan di perairan Kota Kinabalu mendapati penduduk Pulau Gaya dan komuniti maritim lain mematuhi arahan PKP.

"Setakat ini, saya amat berpuas hati (pematuhan) terutamanya penduduk Pulau Gaya yang mematuhi PKP sepanjang pelaksanaannya," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Pajeri menegaskan PPM memberi komitmen terbaik untuk meneruskan penguatkuasaan PKP di perairan Sabah.

Katanya, PPM juga sudah merangka operasi sempena Ramadan dan Aidilfitri dengan menempatkan 600 anggota mengawal perairan negeri ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 10:47 AM