ANTARA penuntut UM yang dihantar balik ke kampung halaman masing-masing, tadi. FOTO ihsan UM
ANTARA penuntut UM yang dihantar balik ke kampung halaman masing-masing, tadi. FOTO ihsan UM
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 790 penuntut Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berlepas dari sembilan pusat pelepasan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, tadi.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, penghantaran penuntut itu adalah penghantaran pertama di seluruh negara.

"Sembilan pusat pelepasan itu adalah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Teknologi Malaysia cawangan Kuala Lumpur (UTM KL), Universiti Sains Islam Malaysia cawangan Kuala Lumpur (USIM KL) dan Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

"Pergerakan penuntut ke 17 destinasi di tiga negeri di utara tanah air akan bermula dari pusat pelepasan jam 9 malam tadi menggunakan perkhidmatan 50 bas yang sudah disanitasi.

"Daripada jumlah itu, 32 bas menuju ke Kedah, 13 bas ke Pulau Pinang dan lima bas lagi menuju ke Perlis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noraini berkata, seorang wakil keluarga akan menjemput penuntut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau Pejabat Daerah yang sudah dikenal pasti.

"Bagi keluarga yang tidak dapat menjemput penuntut di lokasi ketibaan, urusan penghantaran penuntut akan diuruskan oleh agensi kerajaan yang terbabit.

"Taburan penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berlepas dari pusat pelepasan IPT adalah 89 penuntut dari UIAM, UKM (150), UM (164), UPM (80), UiTM Shah Alam (146), UPNM (50), UTM KL (49), USIM KL (31), Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (31)," katanya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk membenarkan pergerakan penuntut dari kawasan zon hijau ke kampung halaman yang berada dalam zon hijau secara berperingkat bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kumpulan pertama membabitkan 1,128 penuntut IPT akan mula bergerak balik ke kampung masing-masing malam ini dan esok.

Daripada jumlah itu, seramai 863 penuntut IPT mula bergerak malam ini dari zon tengah ke kediaman mereka di zon utara daripada sembilan universiti di zon tengah.

Katanya, Kementerian Pengajian Tinggi memaklumkan seramai 265 penuntut pula akan dihantar pulang dari zon utara ke zon tengah pada malam 28 April.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 12:17 AM