Petugas kesihatan memberikan vaksin jenis Sinovac kepada seorang warga emas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IPT Mega di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Petugas kesihatan memberikan vaksin jenis Sinovac kepada seorang warga emas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IPT Mega di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohd Amin Jalil


Nilai: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang bekerjasama dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi melaksanakan program vaksinasi terhadap tenaga pengajar dan penuntut mengikut keutamaan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, buat permulaan, keutamaan diberikan kepada tenaga pengajar dan penuntut perubatan, pergigian dan jururawat.

Katanya, pihaknya mengambil maklum mengenai kegusaran sebahagian tenaga pengajar dan penuntut universiti berhubung keutamaan pemberian vaksin kepada kumpulan tertentu di Institut Pengajian Tinggi (IPT) termasuk di Politeknik dan Kolej Komuniti (KK).

"Sebenarnya mereka (kalangan tenaga pengajar) yang berisiko setakat ini sudah menerima suntikan vaksin.

"Namun, dalam program vaksinasi selanjutnya keutamaan akan diberikan kepada tenaga pengajar dan penuntut perubatan, pergigian dan jururawat yang masih lagi tertinggal dan kemudiannya kita akan pergi pula kepada tenaga-tenaga pengajar dan penuntut yang lain.

"Kita harus maklum bahawa ada enam kategori yang dibenarkan untuk masuk ke universiti terutama mereka (penuntut) yang tidak ada akses internet dan mereka yang perlu menggunakan makmal..jadi mereka ini yang dikategorikan sebagai keutamaan menerima vaksin," katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Institut Pengajian Tinggi (IPT), di Dewan Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, tadi.

Turut hadir, Pendaftar USIM Datuk Muhammad Haizuan Rozali dan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Prof Dr Muhammad Shamsir Mohd Aris.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, senarai nama tenaga pengajar dan penuntut sudah diserahkan kepada pihak CITF bagi tujuan notifikasi penjadualan vaksin.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 30 peratus tenaga pengajar universiti di seluruh negara sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, kumpulan pertama penuntut di Lembah Klang sudah mula menerima vaksin pada 22 Mei lalu.

"Bagi kumpulan lain, mereka akan menerima dalam fasa berikutnya secara berperingkat mengikut keutamaan.

"Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan kepada saya bahawa pemberian vaksin ini akan bermula dalam fasa ketiga nanti. Dari segi angka kita akan perincikan kemudian mengikut keutamaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 4:39 PM