Mohd Amin Jalil


Nilai: Penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) boleh menarik nafas lega apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan tiada kenaikan yuran pengajian semester IPT tahun ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, tiada lain-lain caj dikenakan kepada penuntut berikutan mereka hanya belajar secara dalam talian dan tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan di universiti.

"Saya ingin memaklumkan bahawa yuran pengajian tinggi tidak naik manakala perkara membabitkan aktiviti juga tiada caj dikenakan.

"Memang kita (KPT) sudah minta universiti 'reduce' (kurangkan) atau tidak mengenakan caj. Walau bagaimanapun perkara itu bergantung kepada universiti kerana mereka mempunyai kuasa autonomi masing-masing.

Jadi yuran tidak naik dan perkara babitkan aktiviti tidak dicaj oleh universiti berkenaan," katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPA) Mega IPT, di Dewan Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, tadi.

Turut hadir, Pendaftar USIM Datuk Muhammad Haizuan Rozali dan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Prof Dr Muhammad Shamsir Mohd Aris.

Dalam laporan media sebelum ini, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak dilaporkan berkata, KPT sedang mengkaji isu berkaitan yuran pengajian semester IPT bagi penuntut yang terkesan akibat penularan Covid-19.

Noraini Ahmad (kiri) ketika meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IPT Mega di Dewan Tuanku Canselor USIM. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Noraini Ahmad (kiri) ketika meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IPT Mega di Dewan Tuanku Canselor USIM. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Dr Mohamed Mustafa berkata, kos pengajian penuntut IPT kini tidak tinggi kerana mereka tidak menggunakan asrama, fasiliti sukan, makmal dan bilik kuliah dan sebagainya.

"Isu yuran sedang kami kaji, akan ada berita gembira. Kami juga faham mereka ada tanggungjawab lain dan keluarga mereka terjejas akibat Covid-19," katanya.

Pada 27 Mei lalu, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dilaporkan meminta KPT mengkaji yuran pengajian semester IPT bagi penuntut yang terkesan akibat Covid-19.

Menurut MPPK, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hampir 80 peratus penuntut sudah kembali ke rumah masing-masing dan tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan di universiti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 4:52 PM