Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Dato’ Hasagaya Abdullah bersama-sama Pengurusan Tertinggi Universiti turut hadir bagi meninjau persiapan dan seterusnya mengiringi pelepasan mahasiswa pulang bagi fasa pertama pada 7 Mei 2021 jam 9.00 pagi di kampus UPNM Kem Sungai Besi.  FOTO NSTP
Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Dato’ Hasagaya Abdullah bersama-sama Pengurusan Tertinggi Universiti turut hadir bagi meninjau persiapan dan seterusnya mengiringi pelepasan mahasiswa pulang bagi fasa pertama pada 7 Mei 2021 jam 9.00 pagi di kampus UPNM Kem Sungai Besi. FOTO NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Seramai 2,147 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman berdasarkan jadual ditetapkan universiti mulai semalam.

UPNM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, daripada jumlah itu, seramai 797 penuntut menaiki bas sewa khas, 1,285 menggunakan kenderaan keluarga manakala 47 lagi pulang dengan penerbangan komersial.

Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah bersama-sama pengurusan tertinggi universiti turut hadir bagi meninjau persiapan dan seterusnya mengiringi pelepasan penuntut pulang bagi fasa pertama semalam pada jam 9 pagi di kampus UPNM dekat Kem Sungai Besi.

Pada sesi tinjauan itu, Naib Canselor sempat menyampaikan amanatnya kepada semua penuntut supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi stndard (SOP) ditetapkan dan norma baharu dalam mencegah penularan pandemik Covid-19 di sepanjang tempoh cuti perayaan Aidilfitri.

Beliau turut menyatakan keprihatinan dan komitmen UPNM untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan penuntut.

"UPNM mengambil inisiatif menguruskan pergerakan penuntut pulang ke kampung halaman berdasarkan ketetapan mekanisme kawalan pergerakan secara berfasa seperti ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Langkah itu diambil susulan kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada penuntut lnstitusi Pendidikan Tinggi (IPT) pulang sempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali negeri Sarawak.

"Fasa pergerakan penuntut pulang ke rumah masing-masing bermula semalam hingga 12 Mei manakala 15 hingga 20 Mei untuk ke kampus," katanya.

Dalam kenyataan sama, UPNM turut berterima kasih dan menghargai bantuan ikhlas dihulurkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta kesudian membantu penghantaran 18 penuntut berkeperluan pulang ke Sabah menggunakan pesawat pengangkut TUDM.

KPT dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan lebih 100,000 penuntut yang kini berada di kampus dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sempena Aidilfitri kecuali bagi Sarawak.

Penuntut boleh menggunakan tiga kaedah pergerakan iaitu kenderaan sendiri, dijemput ibu bapa atau penjaga atau menggunakan bas yang diselaraskan pihak IPT.

Pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 3:10 PM