ADUN Buit Katil, Adly Zahari.
ADUN Buit Katil, Adly Zahari.
Amir Mamat


BEKAS Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil Adly Zahari dinamakan sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka yang baharu.

Pelantikan itu susulan perubahan pucuk kepemimpinan kerajaan negeri selepas Adly gagal memperoleh sokongan majoriti Dun, sekali gus menyaksikan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tumbang kepada kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Umno.

PH Melaka dalam satu kenyataan semalam memaklumkan pelantikan Adly itu dipersetujui sebulat suara menerusi mesyuarat secara dalam talian bersama 11 Adun PH negeri semalam.

Sementara itu, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dijadual diadakan pada 11 Mei ini tetap diteruskan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan dua minggu lagi.

Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali berkata, persidangan sehari itu dijangka membincangkan beberapa perkara termasuk mengenai usul pelantikan Ahli Dewan Negara yang baharu.

"Kita akan teruskan persidangan sehari itu. Insya-Allah kita doakan berjalan lancar," katanya ketika dihubungi.

Khamis lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan PKP dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi bermula 29 April hingga 12 Mei ini.

Lanjutan itu adalah PKP fasa keempat yang dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini sejak 18 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 3:17 PM