Dewan Undangan Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO NSTP
Dewan Undangan Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO NSTP
Hassan Omar


AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka diingatkan supaya memanfaatkan waktu singkat dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) sehari, esok.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, walaupun persidangan kali ini bakal berlangsung dalam situasi berbeza berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat wabak Covid-19, ia seharusnya memberikan manfaat kepada rakyat.

"Persidangan kali ini berbeza daripada aspek kedudukan kerana kami menjarakkan Adun untuk duduk agak jauh, tetapi persidangan ini amat penting untuk rakyat.

"Saya mengucapkan selamat bersidang kepada semua Adun," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 26 mangsa ribut di FELDA Tun Ghafar Hutan Percha, Alor Gajah, hari ini.

Kerajaan negeri menyediakan RM750 untuk mangsa terbabit melakukan pembaikan bumbung rumah yang rosak dilanda ribut pada 6.30 petang 2 April lalu manakala FELDA menyediakan kit makanan bernilai RM50 untuk mereka.

Hadir sama, Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar dan Timbalan Pengarah Besar Perladangan dan Pembangunan Peneroka FELDA, Anuar Malek.

Persidangan DUN esok yang pertama selepas kerajaan negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 9 Mac lalu.

Persidangan itu diadakan hanya sehari berikutan PKPB dan kali ini, bekas Ketua Menteri, Adly Zahari bertanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang melalui persetujuan sebulat suara 11 Adun PH Melaka yang bermesyuarat secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 3:45 PM