Syaherah Mustafa


KUIH Kerbau Guling yang menjadi sebutan setiap kali Ramadan, dijual seperti biasa namun dengan sedikit kelainan apabila tempahan dibuat melalui dalam talian.

Pengusahanya, Wan Suriana Wan Ali, 37, berkata, dia menerima lebih 100 tempahan pelbagai kuih termasuk Kerbau Guling selepas mempromosikan di laman sosial Facebook serta kumpulan aplikasi WhatsApp sejajar dengan arahan pihak berkuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, dia tetap menjual kuih yang berasal dari Thailand itu memandangkan mendapat permintaan tinggi sebelum Ramadan lagi biarpun mengalami kesulitan untuk mendapatkan bahan kerana ia banyak dijual di sempadan.

"Saya ada membuka premis baru di Jalan Parit Air, Rantau Panjang, memandangkan gerai dahulu tidak bersesuaian dengan keadaan PKP sekarang ini, namun mula dibuka pada jam 3 petang sebagai mana arahan pihak berkuasa.

"Bagaimana pun, mereka yang menempah awal secara dalam talian lebih disarankan kerana kami menyediakan kuih yang siap dibungkus serta dapat mengurangkan kesesakan orang yang datang ke kedai bagi menjamin keselamatan bersama.

"Alhamdulillah, pada hari pertama puasa saya menyediakan 40 dulang Kerbau Guling dan 15 jenis kuih lain yang mendapat sambutan malah habis dijual," katanya ketika ditemui di premis kedai miliknya di Jalan Parit Air, Rantau Panjang, Kelantan, semalam.

WAN Suriana Wan Ali menunjukkan kuih Kerbau Guling. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
WAN Suriana Wan Ali menunjukkan kuih Kerbau Guling. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Kerbau Guling atau dikenali sebagai kuih Koleh Hitam viral sejak 2018, selepas mendapat liputan NSTP kerana memiliki nama unik selain rasanya yang sedap dengan tekstur lembut dan dimakan bersama kelapa parut.

Wan Suriana berkata terdapat juga pelanggan luar dari Rantau Panjang yang mengeluh dan bersedih kerana tidak dapat merasa kuih Kerbau Guling yang menggunakan resipi turun temurun itu, kerana terikat dengan arahan PKP.

"Pelanggan yang datang ke kedai memberi kerjasama baik dan mengikut arahan dengan menjaga penjarakan sosial malah hanya seorang wakil sahaja bagi setiap keluarga yang datang mendapatkan kuih untuk berbuka.

"InsyaAllah perniagaan kuih ini diteruskan bagi memenuhi permintaan pelanggan sepanjang Ramadan, dan saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak yang bertanggungjawab kerana sentiasa memantau bagi memastikan peniaga mematuhi arahan yang ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 11:56 AM