TIADA pelantikan amil zakat fitrah di kalangan amil kampung di Negeri Sembilan bagi tahun ini. FOTO Arkib NSTP
TIADA pelantikan amil zakat fitrah di kalangan amil kampung di Negeri Sembilan bagi tahun ini. FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil

KERAJAAN negeri menerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menetapkan kadar zakat fitrah RM7 dengan kaedah pembayaran secara dalam talian.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kadar itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Beliau berkata, mengambil kira situasi masyarakat Islam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan Covid-19, jumlah zakat fitrah wajib ditunaikan bergantung kepada kemampuan pembayar atau ketua keluarga.

“Sebagai contoh, Abu adalah ketua keluarga mempunyai seorang isteri dan lima orang di bawah tanggungannya (jumlah tujuh orang semuanya), namun kemampuannya Abu pada ketika ini hanya dapat menunaikan zakat fitrah untuk tiga orang sahaja.

“Maka kewajipan zakat fitrah Abu bagi tahun 1441H ini ialah untuk tiga orang sahaja ahli keluarganya iaitu sebanyak RM21 sahaja dengan mengambil kira kadar zakat fitrah sebanyak RM7 seorang.

“Kaedah pembayaran zakat fitrah ditetapkan secara dalam talian sepenuhnya dan kaedahnya akan diperjelas pihak Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bilik Gerakan Wisma Negeri, Seremban, hari ini.

Aminuddin berkata, tiada pelantikan amil zakat fitrah di kalangan amil kampung di Negeri Sembilan bagi tahun ini, selaras dengan langkah pencegahan bagi membendung Covid-19 dalam masyarakat.

Beliau berkata, jawatankuasa fatwa memperjelaskan kelonggaran diberikan kepada ketua keluarga atau pembayar zakat fitrah sekiranya pembayaran tidak dapat dibuat disebabkan masalah talian atau sebagainya hingga berakhirnya Ramadan, mereka boleh menunaikan kewajipan itu secara qada.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 5:59 PM