GAMBAR hiasan. FOTO Rasul Azli Samad
GAMBAR hiasan. FOTO Rasul Azli Samad
Yun Mikail


MAJLIS Ugama Islam Sabah (MUIS) menetapkan kadar zakat fitrah di Sabah tahun ini sebanyak RM7.50 dan RM6 mengikut kemampuan pembayar serta ketua keluarga.

Pengisytiharan dilaksanakan oleh Yang Di Pertua MUIS, Datuk Seri Dr Hasbullah Mohd Taha.

Hasbullah berkata kadar itu ditetapkan bagi seorang individu atau bersamaan nilai segantang Baghdad atau 2.7 kilogram beras yang dimakan majoriti rakyat Sabah.

“Kadar ini ditetapkan selepas melihat dan meneliti situasi negara yang terjejas berikutan penularan Covid-19 selain bertujuan meringankan beban umat Islam untuk menunaikan kewajipan membayar zakat.

“Ia juga selari dengan Resolusi Muzakarah Khas Kedua Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang pada 9 April lalu menerusi siaran langsung telekonferen,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Kadar Zakat Fitrah Negeri Sabah 2020, dekat Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Pusat Zakat Sabah (PZS) juga sudah melantik 1,967 wakil amil dan 39 penyelaras wakil amil bagi menyelaras serta memungut zakat fitrah selain terdapat enam cara pembayaran boleh dilakukan orang awam sepanjang Ramadan.

“Salah satunya ialah pembayaran secara atas talian seperti Maybank2u, CIMB Clicks, Snap N Pay, MYeG dan Boost.

“Kita juga akan melaksanakan perkhidmatan amil bergerak daripada rumah ke rumah, amil statik (pembayar datang ke rumah amil) serta kaunter zakat di bangunan perkhidmatan penting seperti balai bomba dan balai polis.

“Selain itu, pembayaran turut boleh dibuat di kaunter zakat enam Pejabat Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS seluruh negeri selain pelaksanaan bayar zakat menerusi 20 khemah pandu lalu di beberapa jalan utama atas nasihat Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Bagaimanapun, Hasbullah menyatakan pihaknya masih menunggu kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk pelaksanaan cara pembayaran zakat secara tunai terbabit.

Sementara itu, beliau berkata PZS tahun ini mensasarkan kutip zakat fitrah sebanyak lebih RM10.9 juta selain kira-kira RM79 juta untuk zakat harta.

“PZS tahun lalu mengutip RM9.8 juta zakat fitrah membabitkan lebih 1.4 juta orang pembayar zakat manakala lebih RM75.8 juta bagi nilai kutipan zakat harta bagi tahun 2019,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 12:47 PM